Hukum Berhutang

on Monday, December 12, 2011

Sejak zaman Rasulullah s.a.w. amalan berhutang sudah berlaku seperti kisah baginda berhutang seekor unta. Baginda membayar hutang untanya dengan unta lebih besar dan lebih baik. Sabda baginda bermaksud : Sebaik-baik kamu ialah orang yang melebihkan dan memperelokkan pembalasan hutangnya (menambah daripada apa yang diambil).

Islam menggariskan beberapa hukum tentang berhutang, ganjaran pemberi hutang serta cara membayar hutang. Rasulullah s.a.w. mengingatkan, orang berharta yang sengaja menangguhkan pembayaran hutangnya termasuk dalam kalangan orang yang zalim. Pada dasarnya Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang. Hal ini dijelaskan dalam hadis daripada Uqbah Amir bermaksud : Jangan kalian membuat takut jiwa selepas ketenangannya. Mereka berkata : Apa itu wahai Rasulullah? Beliau bersabda : Hutang.

Dijelaskan dalam sebuah hadis (Hadis Hasan) bermaksud : Hutang di segi pahala, lebih 2 pahala daripada sedekah. Diceritakan pula dalam kisah perjalanan Rasulullah s.a.w. bersama Jibril pada malam Israk Mikraj, tergantung di salah satu pintu syurga kata-kata bermaksud : Sedekah bersamaan 10 kali ganda, hutang bersamaan 18 kali ganda. Baginda bertanya kepada Jibril : Mengapa demikian? Jawab Jibril : Sedekah diberikan kepada seseorang, semua atau sebahagian. Sementara hutang, orang tidak akan berhutang kecuali terdesak.

Sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadis diriwayatkan Muslim bermaksud : Allah akan menolong hambaNya selama hamba itu suka menolong saudaranya. Memberi hutang boleh bertukar menjadi wajib apabila orang yang memerlukan hutang itu amat terdesak, seperti ditimpa musibah,bencana dan kurang upaya. Allah berfirman dalam Surah Al-Maidah, ayat 2 bermaksud : Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksaNya.

Rasulullah s.a.w. mengingatkan orang berhutang bahawa dia terus terikat dengan pembayaran balik segala hutangnya. Dia mesti menjelaskan hutang ketika hidup kerana apabila orang yang berhutang meninggal dunia, rohnya akan tergantung di antara langit dan bumi sehingga dijelaskan hutang itu. Bagi mereka yang tidak mampu melangsaikan hutang sehingga dia meninggal dunia, maka hutang itu menjadi tanggung-jawab Baitulmal seperti yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w.

Ada ulamak berpendapat, tanggung jawab membayar hutang berpindah kepada waris si-mati. Jika anaknya juga miskin, maka hutang berbalik kepada cara pertama iaitu diserahkan kepada kerajaan. Firman Allah dalam Surah Al Baqarah, ayat 280 bermaksud : Dan jika (orang berhutang itu) dalam kesusahan, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebahagian atau semua) itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

Rasulullah amat menggalakkan orang yang berhutang berusaha membayar lebih daripada hutangnya. Ia sebagai tanda bersyukur atas bantuan yang dihulurkan si pemberi hutang. Dalam keadaan biasa, hukum memberi hutang adalah sunat. Bagi orang yang berhutang, hukum membayar balik hutangnya adalah wajib apabila sampai tempoh. Jika belum sampai tempoh dijanjikan, pemberi hutang tidak boleh meminta hutangnya dibayar-balik.

Diceritakan oleh Anas : Seorang lelaki antara kami memberi hutang suatu barang kepada temannya. Kemudian orang yang berhutang itu memberi hadiah kepadanya. Hal itu diceritakan kepada Rasulullah. Jawab baginda : Apabila salah seorang antara kamu memberi hutang sesuatu, kemudian dia diberi hadiah atau dinaikkan ke atas kenderaan, maka jangan diterima hadiah itu, juga jangan dia naik kenderaan itu. Kecuali jika sudah biasa di antara mereka memberi hadiah iaitu sebelum terjadinya hutang tersebut. (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Konsep Perniagaan Dalam Islam




PERNIAGAAN adalah suatu kegiatan yang amat dianjurkan Islam kepada umatnya. Ini kerana aktiviti perniagaan menjanjikan hasil pulangan berlipat ganda kepada peniaga yang berusaha bersungguh-sungguh. Tidakkah Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “9/10 rezeki itu adalah datang daripada perniagaan.” (Hadis riwayat Tirmizi)
Di samping itu, medan perniagaan juga adalah antara tempat turunnya limpahan rahmat Ilahi kepada Muslim yang melakukan kebajikan dalam bidang perniagaan. Sehubungan itu, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Allah memberikan rahmat-Nya pada setiap orang yang bersikap baik ketika menjual, membeli dan membuat suatu kenyataan.” (Hadis riwayat Bukhari).
Di dalam al-Quran, salah satu terminologi yang sering digunakan dalam helaian al-Quran untuk memerihalkan amal salih demi meraih keredaan dan rahmat Ilahi adalah perniagaan. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau secara terang-terangan, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan mereka dari limpah kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepada-Nya).” (Surah Faathir, ayat 29-30)
Walaupun perniagaan adalah satu bidang yang sarat dengan risiko dan cabaran sentiasa berhadapan dengan kemungkinan untung dan rugi, namun naluri dan fitrah manusia masih cenderung dan menginginkan keuntungan daripada perniagaan itu. Malah, kalau boleh, jiwa manusia mengidamkan keuntungan berlipat ganda.
Oleh sebab itu, terdapat sebahagian manusia yang sanggup dan tergamak menghalalkan segala macam cara demi meraih keuntungan berlipat ganda. Natijahnya, ada peniaga sengaja memanipulasi situasi kenaikan gaji kakitangan kerajaan dengan menaikkan harga barangan keperluan asas sehingga membebankan pengguna.
Tidak kurang juga ada peniaga melakukan penipuan dalam timbangan dan ada pula sanggup memakan riba yang terlarang di samping melakukan amalan rasuah demi kepentingan peribadi dan keuntungan segera.
Sehubungan itu, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah, ayat 188)
Perlu diinsafi bahawa keuntungan menurut perspektif al-Quran tidak hanya terbatas dalam perkara yang bersifat material dan duniawi saja, malah ia turut merentasi sempadan kepada perkara bersifat rohaniah dan ukhrawi bernilai abadi.
Pengertian ayat 29 dari surah Faathir menegaskan bahawa Allah akan memberikan ganjaran yang tidak terhingga kepada orang yang melakukan transaksi perniagaan dengan tiga amalan utama iaitu membaca dan bertadabbur al-Quran, menyegerakan pelaksanaan solat dan menafkahkan sebahagian harta dimiliki kepada golongan yang memerlukan.
Membaca dan memahami al-Quran adalah satu kewajipan yang sewajarnya dilakukan setiap Muslim pada setiap masa dan ketika. Ini kerana al-Quran adalah kitab panduan hidup serba lengkap, di dalamnya terdapat pelbagai pengajaran, hukum hakam, peringatan dan juga sebagai kurikulum kehidupan untuk diterjemahkan dalam konteks realiti kehidupan semasa di samping menjawab pelbagai persoalan hidup, baik yang bersifat peribadi, keluarga, masyarakat sosial mahupun negara.
Peniaga yang sentiasa membaca dan memahami al-Quran akan menjadikan al-Quran sebagai imam dan pembimbing ke arah menjalankan aktiviti perniagaannya dengan penuh jujur, adil dan saksama. Al-Quran akan bertindak sebagai perisai bagi seorang peniaga daripada melakukan penipuan, penyelewengan, rasuah dan lain-lain amalan yang dilarang syarak.
Bukankah Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan orang yang beriman yang mengerjakan amal salih bahawa mereka beroleh pahala besar.” (Surah al-Isra’, ayat 9)
Solat pula adalah tiang seri agama Islam. Sesiapa yang mendirikan solat bermakna dia telah menegakkan agama Islam. Sehubungan itu, Islam amat menganjurkan umatnya supaya menyegerakan pelaksanaan solat apabila masuk waktunya.
Hal ini kerana menyegerakan solat yang disertai pula dengan kekhusyukan yang mendalam akan melahirkan ketenangan jiwa dan juga kekuatan jiwa yang berupaya menepis pelbagai macam godaan dan cabaran hidup.
Peniaga yang solatnya khusyuk akan tercegah daripada perbuatan keji dan mungkar seperti mana ditegaskan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: “Bacalah dan ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedah dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)
Menafkahkan sebahagian harta dimiliki untuk kepentingan golongan lebih memerlukan seperti fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal, pesakit yang memerlukan sumber kewangan bagi menampung kos perubatan mereka dan lain-lain lagi adalah antara amalan yang amat dituntut Islam. Amalan menafkahkan harta pada hakikatnya akan mengembangkan dan juga menambahkan keberkatan harta yang dimiliki itu.
Dalam Islam, harta bukanlah sesuatu dilarang kepada umatnya untuk mencari, memiliki dan menggunakannya dalam kehidupan seharian. Malah, Islam menganggap harta itu sebagai urat nadi kehidupan yang akhirnya akan membawa kesejahteraan hidup di dunia dan juga di akhirat di samping ia juga adalah sebahagian daripada kepentingan individu dan masyarakat umum.
Allah berfirman maksudnya: “Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan hidup kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan) dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.” (Surah al-Nisa’, ayat 5)
Demikianlah konsep perniagaan yang tidak pernah kerugian menurut perspektif al-Quran dengan melaksanakan prinsip perniagaan mengikut syarak demi meraih keuntungan duniawi dan juga menjejaki keredaan Ilahi di akhirat nanti.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© Let's Gorgeus All Rights Reserved